Wednesday 14 December 2011

Sultan Mizan seru hormati kedudukan Islam sebagai agama rasmi

Sultan Mizan seru hormati kedudukan Islam sebagai agama rasmi


KUALA TERENGGANU: Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin, menyeru semua pihak supaya terus menghormati kedudukan Islam sebagai agama rasmi di negara ini untuk mengekalkan keharmonian di kalangan rakyat jelata.

Baginda bertitah, tindakan beberapa pihak yang tidak bertanggungjawab yang masih berusaha untuk menimbulkan soal itu menimbulkan kegelisahan di kalangan umat Islam di negara ini.

"Sejarah membuktikan bahawa pemerintahan berasaskan ajaran Islam tidak pernah menafikan keadilan kepada mana-mana golongan atau puak, walaupun berlainan agama dan keturunan.
"Sebagai contoh Terengganu adalah negeri yang terawal menerima Islam di Semenanjung Tanah Melayu dengan bukti penemuan Batu Bersurat di Kuala Berang.

"Sejak itu Islam menjadi agama anutan majoriti rakyat Terengganu, namun dalam masa yang sama penganut agama lain masih bebas mengamalkan pegangan hidup mereka selagi tidak menjejaskan keamaman di negeri ini," titah baginda.

Baginda bertitah demikian dalam majlis Istiadat Penghadapan di Istana Maziah di sini, hari ini.

Turut berangkat sama, Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah dan Yang Dipertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail.
Turut sama, di majlis berkenaan Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said dan ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri serta kerabat.

Sehubungan itu, Sultan Mizan yang baru saja menamatkan tugas baginda sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-13 bertitah, perpaduan di kalangan umat Islam akan menjamin kedaulatan dan membina benteng kukuh supaya agama Islam tidak dipersenda-sendakan.

Selain itu, baginda turut meminta semua pihak agar melihat dan mengkaji keadaan sekeliling untuk membina kekuatan bagi menghadapi cabaran semasa dan akan datang.

Baginda bertitah, pergerakan dunia tanpa sempadan pada masa kini menuntut kerajaan proaktif untuk menangani isu-isu tempatan berikutan penyebaran informasi bebas melalui internet, dasar liberalisasi yang menjadi tuntutan pelabur asing, imigrasi secara sah dan haram yang terus meningkat serta penularan kebudayaan pada peringkat antarabangsa dan implikasinya.

Baginda juga meminta kerajaan negeri agar sentiasa sensitif dan responsif dengan keperluan rakyat dan setiasa bersedia dengan formula yang baik untuk menghadapi kesan serta implikasi daripada perubahan yang berlaku di persekitaran.

Rakyat pula diminta meningkatkan ilmu fardu kifayah dengan ilmu dan kepakaran dalam pelbagai bidang seperti perubatan, pertanian, ekonomi dan ilmu-ilmu semasa.

Baginda turut bersyukur dengan pembangunan dan kemajuan yang dikecapi Terengganu dalam pelbagai bidang terutamanya dalam bidang pendidikan, sukan dan ekonomi sepanjang peninggalan baginda semasa menjalankan tugas Yang di-Pertuan Agong.

Titah baginda, kemajuan yang dicapai itu adalah hasil kerjasama erat di antara tiga serangkai iaitu Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri di bawah pimpinan Menteri Besar, ahli Majlis Perwakilan Pemangku Raja dan Dewan Pangkuan Diraja Terengganu yang menyokong pemerintahan anakanda baginda, Tengku Muhammad Ismail.

Dalam istiadat berkenaan, Sultan Mizan turut berkenan mengurniakan Pingat Darjah Kerabat Diraja Terengganu Yang Amat Mulia Darjah Yang Pertama (DKR) kepada anakanda baginda, Tengku Muhammad Ismail. - BERNAMA

Creative Commons License
This work is licensed under a Creative Commons Attribution-NonCommercial-ShareAlike 3.0 Unported License. kalau dah baca tu, ringan-ringankanlah tangan anda untuk like page ADAM ok..
kongsikan artikel ini pada facebook dan twitter Make Your Own Gifts Here

0 Comments

Post a Comment