Wednesday 28 December 2011

Selebriti Kacak Rajin Ke Gimnasium


Selebriti Kacak Rajin Ke Gimnasium

KUALA LUMPUR, 27 DISEMBER 2011: Bukan mudah untuk terus tampak kekal menarik, apatah lagi apabila tuntutan kerjaya sering memerlukan anda berada di hadapan lensa kamera.

Malah adakalanya tuntutan watak juga memainkan peranan penting untuk seseorang selebriti terutama sekali pelakon memiliki tubuh badan yang ideal sesuai dengan peranan yang dipegang.

Bagi selebriti wanita, memiliki tubuh badan yang langsing dan bergaya merupakan aset paling utama. Bukan saja untuk tujuan komersial, tetapi juga bagi memastikan setiap pakaian yang direka oleh pereka fesyen muat untuk digayakan ketika melalui permaidani merah.

Oleh yang demikian, selain diet seimbang, pengambilan makanan tambahan dan tidur yang mencukupi, aktiviti bersenam seperti mengunjungi gimnasium merupakan salah satu aktiviti rutin golongan selebriti untuk kekal cantik, bertenaga dan sihat.

Tinjauan portal murai.com.my mendapati, beberapa selebriti popular seperti Remy Ishak, Ryzal Jaafar, Edry Abdul Halim dan Sharnaz Ahmad merupakan pengunjung setia salah sebuah gimnasium di ibu negara.

Selain menghabiskan masa beberapa jam di atas treadmill bagi meningkatkan stamina dan mengurangkan berat badan, kebanyakan mereka gemar mengangkat besi berat bagi menaikan otot di bahagian lengan, bahu, peha mahupun menggunakan mesin sit-up untuk mengempiskan perut.

Pelakon popular, Remy Ishak yang ditemui di salah sebuah cawangan Celebrity Fitness di tengah ibu kota berkata, jika tidak ke pusat bersenam berkenaan dia seboleh-bolehnya akan ke gimnasium di kediamannya untuk melakukan senaman.

"Memang saya suka bersenam di gimnasium dan kali ini saya perlu mengurangkan berat badan saya untuk memegang peranan saya dalam sebuah filem. Bukannya kerja mudah untuk mencapai sasaran itu, tapi saya cuba sedaya upaya yang mungkin," katanya.

Sementara itu pelakon Ryzal Jaafar berkata, gymnasium adalah tempatnya merehatkan fikiran selain dapat membina otot dan kekal sihat.

"Jika tidak ada sebarang aktiviti lakonan, saya akan menggunakan peluang untuk mengunjungi gimnasium berhampiran untuk bersenam. Maklum sajalah kerja sebagai selebriti perlu kekal tampak menarik.

"Memang saya mengidamkan untuk memiliki six pack, tapi nanti dululah. Mungkin tak lama lagi anda akan dapt melihat six pack di perut saya ini," katanya dengan nada gembira.

Ceria apabila didekati portal murai.com.my ketika sedang asyik berborak dengan salah seorang jurulatih persendirian, Sharnaz berkata dia selalunya akan mengunjungi gimnasium pada awal pagi sebelum memulakan harinya yang panjang.

Akur berat badannya kini semakin meningkat, Sharnaz berkata dengan hanya melakukan senaman di gimnasium dia akan dapat mengurangkan berat badan dalam tempoh yang diperlukan.

Berlainan pula bagi Awal Ashaari. Baginya melakukan senaman di gimnasium bukanlah kebiasaan buat dirinya, sebaliknya lebih cenderung mengawal pengambilan makanan berlemak dan berkabohidrat dalam setiap menu hariannya.

"Saya memang seorang yang tidak suka bersenam, apatah lagi mengunjungi gimnasium.Tapi saya menjaga penampilan saya dengan pengambilan makanan yang sesuai.

"Ada kalanya saya rasa tertekan apabila melihat orang lain makan dengan berseleranya, sedangkan saya hanya perlu menjamah sedikit saja setiap makanan itu. Tapi itu sajalah caranya.

"Percaya atau tidak, Scha Al-Yahya memang suka bersenam di gimnasium. Malah sekarang inipun saya perlu menghantar dan mengambilnya daripada melakukan senaman di Bangsar," katanya secara terbuka.

sumber : murai.com.my
Dapatkan berita-berita terkini melalui facebook. Klik Like untuk ikuti update terkini Adamfikri.com
kongsikan artikel ini pada facebook dan twitter Make Your Own Gifts Here

2 Comments: