Thursday 22 December 2011

Pensyarah UM terima geran RM50,000

KUALA LUMPUR: “Geran ini begitu bermakna buat saya kerana ia ibarat kepercayaan yang diberikan kepada saya untuk menjalankan penyelidikan yang lebih baik khususnya dalam bidang sains dan teknologi di negara ini,” kata Pensyarah Kejuruteraan Mekanikal Universiti Malaya (UM), Dr Mohd Faizul Mohd Sabri.

Beliau adalah penerima geran dengan nilai tertinggi iaitu RM50,000 disumbangkan Yayasan Sains Toray, Jepun dan disampaikan pada Majlis Penyampaian Anugerah Ke-18 Yayasan Sains Toray Malaysia (MTSF), di sini, semalam.

Selain Mohd Faizul, 15 penyelidik lain di seluruh negara turut menerima dana terbabit yang mana dua daripadanya menerima geran bernilai RM25,000, RM20,000 (sembilan penerima), RM15,000 (dua) manakala dua lagi masing-masing memperoleh RM12,000 dan RM10,000.

Katanya, dana itu akan digunakan untuk membiayai projek terbaru beliau iaitu kajian asas ke atas bahan termoelektrik berstruktur nano bagi penukaran sisa tenaga bersama dua lagi penyelidik lain.

“Saya sudah memulakan kajian ini sejak beberapa bulan lalu dan sekiranya tiada masalah dan berjalan seperti dirancang, ia mungkin dapat disiapkan dalam tempoh dua tahun,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti), Datuk Dr Sharifah Zarah Syed Ahmad berkata, majlis berkenaan memperlihatkan objektifnya dalam mengangkat bidang sains dan teknologi negara ke tahap lebih tinggi.

“Mosti menyokong usaha ini sebagai landasan terbaik dalam melakukan perubahan secara besar-besaran dengan didokong pelbagai inisiatif lain termasuk penyusunan semula ekosistem penyelidikan.


“Justeru, kerajaan bekerja keras dalam menyediakan tapak persekitaran yang lebih inovatif bagi memudahkan penciptaan, penyebaran dan penggunaan pengetahuan sains dan teknologi dikembangkan,” katanya yang hadir pada majlis itu.

Difahamkan, seramai 32 penerima yang terdiri daripada saintis, penyelidik dan tenaga pengajar di seluruh negara diberi pengiktirafan pada majlis itu yang membabitkan tiga kategori iaitu Anugerah Pelajaran Sains, Anugerah Sains dan Teknologi serta Geran Penyelidikan Sains dan Teknologi.

sumber : metro
Dapatkan berita-berita terkini melalui facebook. Klik Like untuk ikuti update terkini Adamfikri.com
kongsikan artikel ini pada facebook dan twitter Make Your Own Gifts Here

0 Comments

Post a Comment