Monday, 26 December 2011

Lebih 50,000 tonton Konsert Maher Zain

IPOH 25 Dis. – Lebih 50,000 orang membanjiri Stadium Perak di sini malam tadi bagi menyaksikan Konsert Maher Zain ‘Untukmu Rakyat 1Malaysia’ secara percuma yang dianjurkan kerajaan negeri sempena mempromosikan Tahun Melawat Perak (TMP 2012).

Ternyata aura penyanyi antarabangsa kelahiran Lebanon itu yang mempunyai kira-kira 1.5 juta peminat di negara ini begitu terserlah apabila penonton turut sama menyanyikan lagu-lagu hits beliau sambil mengibarkan Jalur Gemilang dan bendera Perak.

Penyanyi itu yang sinonim dengan genre lagu ‘R&B soul’ turut menghiburkan penonton melalui dua buah lagu dalam bahasa Melayu iaitu Insya-Allah dan Sepanjang Hidup.

Konsert yang berlangsung selama kira-kira empat jam itu dimulakan dengan persembahan Papa Rock Ramli Sarip yang mendendangkan lima buah lagu termasuk Kamelia dan Doa Buat Kekasih.

Kemudian, penyanyi kelahiran Pakistan, Irfan Makki yang kini menetap di Kanada, terus menggegar pentas menerusi enam lagunya iaitu Mamma, Allahu, You and I, Waiting For The Call, Mabrook serta sebuah lagu popular nyanyian mendiang Michael Jackson.

Maher Zain kemudian menguasai sepenuhnya pentas dengan menunjukkan kehebatan vokal menerusi 15 lagu termasuk Hold My Hands, Thank You Allah, Allahi Allah KiyaKaro, I Believe (duet dengan Makki Irfan), Open Your Eyes, Palestine, Freedom, For The Rest of My Life dan Insya-Allah.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir bersama isteri, Datin Seri Saripah Zulkifli hadir menyaksikan konsert berkenaan.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan negeri, Datuk Hamidah Osman serta Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Dr. Abdul Rahman Hashim.

Dapatkan berita-berita terkini melalui facebook. Klik Like untuk ikuti update terkini Adamfikri.com
kongsikan artikel ini pada facebook dan twitter Make Your Own Gifts Here

0 Comments

Post a Comment