Rakyat negara ini disifatkan sudah tidak lagi peduli dan memberi sokongan kepada masa depan syarikat pengeluar kereta pertama negara, Proton Holdings Berhad (PROTON). Penasihat PROTON, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, itu menjadi salah satu punca kegagalan PROTON bersaing dengan syarikat kereta lain termasuk dari Perodua.
“Pelanggan tidak peduli apa jadi kepada negara. Mereka hendak harga yang murah dan barangan terbaik dan kita dapati sekarang pun sukar bertanding dengan Perodua. Perodua bukan mengeluarkan kereta tempatan, mereka mengeluarkan kereta Jepun yang dipasang di Malaysia,” katanya.
PROTON yang ditubuhkan pada 7 Mei 1983 dengan modal berbayar sebanyak RM150 juta merupakan pengeluar kereta pertama Malaysia. Penubuhannya merupakan gagasan Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr. Mahathir untuk mencapai aspirasi negara perindustrian.
“PROTON dari A sehingga Z cuba bangunkan industri tempatan. Malangnya pelanggan kita tidak peduli kalau industri ini mati. Mereka lebih mengutamakan harga, jenama yang terkenal, jenama asing dan itu membuatkan kita sukar melawan…namun kita cuba juga,” katanya.
Penguasaan pasaran kereta nasional iaitu Perodua dan PROTON mengecil kepada 48 peratus setakat suku pertama 2014 disebabkan ketiadaan model-model baru yang mampu memberi impak kepada pasaran. Pada tahun lalu, PROTON dan Perodua menguasai 51.1 peratus pasaran kereta tempatan, sementara 2012 pula sebanyak 53.3 peratus. Jualan PROTON juga hanya 32,734 pada suku pertama tahun ini berbanding 34,343 tempoh sama tahun lalu.
Sumber – ammboi.com
0 Comments
Post a Comment