Monday 28 April 2014

Suami Paksa isteri jadi pelacur

“Seorang isteri berhak menuntut cerai fasakh sekiranya dipaksa suami melakukan perkara diharamkan syarak,” kata Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) Musa Awang.



Menurutnya, seorang isteri tidak dianggap ‘nusyuz' walaupun melanggar perintah suami kerana perbuatan itu boleh mendatangkan kemudaratan bukan sahaja kepada diri, malah kepada agama.

Beliau mengulas pendedahan berita Harian Metro Sabtu lalu berhubung tindakan ganas seorang suami yang memukul isterinya selain memaksa wanita terbabit menjadi pelacur bagi melangsaikan hutang judi.

Mangsa yang menderita sejak setahun lalu akhirnya melarikan diri dari rumah bersama bayi berusia lapan bulan sebelum turut membuat laporan polis di Balai Polis Cheras, di sini.

Musa berkata, seorang isteri juga mempunyai hak untuk melawan suami sekiranya dipaksa melakukan perbuatan maksiat.

“Terdapat dua tindakan yang boleh diambil si isteri iaitu membuat aduan kepada Jabatan Agama Islam dan si suami boleh didakwa di bawah Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah jika melacurkan isteri.

“Tindakan kedua adalah si isteri berhak untuk memfailkan cerai fasakh dengan keluar daripada rumah berkenaan, duduk di tempat selamat serta meminta cerai fasakh,” katanya, semalam.

Menurutnya, seorang isteri mempunyai pilihan sama ada patuh kepada arahan suaminya untuk melakukan perbuatan maksiat atau patuh kepada perintah Allah.

“Dalam soal ini, isteri harus berani dan tidak menurut sahaja arahan suami secara membuta tuli walaupun disakiti secara fizikal,” katanya Sementara tokoh agama yang juga pendakwah bebas, Datuk Hassan Mahmud menasihati golongan suami supaya memelihara amanah Allah SWT serta menjaga keselamatan dan kehormatan diri isteri.

Menurutnya, setiap pasangan perlu menjaga amanah Allah ini dan tidak patut berbuat perkara berdosa, kejam serta dilarang dalam Islam.

“Malah dalam Islam, isteri diibaratkan seperti pakaian kita di mana ia perlu dijaga dengan baik dan diletakkan di dalam almari bukan dengan mencampaknya ke dalam tong sampah.

“Dalam soal ini, suami atau lelaki yang bertindak sedemikian kemungkinan mempunyai kerosakan di dalam dirinya dan perlu dirawat dengan segera dari segi fizikal, mental dan rohani,” katanya, semalam. - Harian Metro

0 Comments

Post a Comment