Sunday 27 April 2014

Rugi RM25,000 akibat diperdaya bomoh


Gara-gara mahu cepat kaya, seorang peniaga rugi RM25,000 akibat terpedaya dengan seorang lelaki dipercayai bomoh yang mendakwa boleh membantu mengubah nasib seseorang.

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Abd Wahab Harun berkata, mangsa dikatakan berurusan dengan bomoh berkenaan sejak Januari lalu, kononnya untuk menambah sumber kewangan.

“Bomoh berkenaan menjalankan upacara di sebuah kuil di Bandar Sunggala dan sepanjang upacara berkenaan, suspek meminta wang pengeras dan lain-lain barang berharga.
“Anggaran pembayaran sebanyak RM25,000 dan ia dilakukan secara berperingkat," katanya.
Menurutnya, mangsa merasa dirinya tertipu apabila semua upacara berkenaan tidak berhasil, lantas membuat laporan polis mengenai kelicikan bomoh tersebut.
“Suspek berusia 39 tahun itu ditahan polis kira-kira 12.50 tengah hari kelmarin, di rumahnya di Kampung Kuala Lukut dan direman mulai semalam untuk siasatan lanjut.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu,” katanya.
Abd Wahab tidak menolak kemungkinan ada lagi individu lain menjadi suspek, namun tidak tampil membuat laporan polis.

“Polis memandang serius bermacam teknik jenayah penipuan masa kini yang mengakibatkan kerugian wang dan harta benda orang ramai," katanya. - sinarharian

0 Comments

Post a Comment