Thursday 17 April 2014

Nyaris Cedera Dimata Akibat DiRotan Guru

KEMAMAN – Seorang pelajar tingkatan tiga sebuah sekolah menengah di daerah ini nyaris mengalami kecederaan pada bahagian mata selepas gurunya dipercayai bertindak di luar batasan dengan merotan di muka dalam kejadian di sekolah itu, kira-kira jam 10.30 pagi kelmarin.

Gara-gara itu, mangsa, Muhammad Amiruddin Azama, 15, mengalami luka dan bengkak pada bahagian hidung serta dahi, selain turut lebam pada bahagian belakang badan.

Kejadian itu berlaku ketika mangsa bersama rakannya sedang menaiki anak tangga untuk masuk semula ke kelas setelah keluar pergi ke tandas.


Muhammad Amirrudin mendakwa, secara tiba-tiba gurunya itu datang dari arah belakang lalu merotan bahagian belakangnya sebanyak dua kali kerana dia tidak memasukkan baju ke dalam seluar.

Kata Muhammad Amirrudin, selepas merotannya, guru lelaki itu masuk semula ke sebuah kelas berdekatan tangga dan kembali mengajar.

Sehubungan itu katanya, dia memaklumkan kejadian itu kepada ibu bapanya sebelum mereka datang berjumpa dengan pengetua untuk berbincang dan kemudiannya dia mendapatkan rawatan di Klinik Desa Geliga kira-kira jam 11 pagi.

Laporan polis mengenai kejadian pula dibuat ibu bapa mangsa di Balai Polis Chukai, kira-kira jam 12 tengah hari pada hari sama.

Sementara itu, ibu mangsa, Faizah Yusof, 46, meluahkan kekesalan dengan tindakan guru itu berikutan tindakan merotan di bahagian muka adalah sesuatu perbuatan tidak wajar kerana boleh mendatangkan kecederaan serius jika terkena mata.- SinarHarian

0 Comments

Post a Comment