Sunday 20 April 2014

Kereta Tamiya semakin menjadi kegilaan

KUALA PILAH - Sebelum ini kereta kawalan jauh yang menggunakan bateri sinonim dengan permainan kanak-kanak.

Kini, kegilaan kereta mini 4wd jenama Tamiya kembali lagi apabila permainan kereta itu yang agak menyepi beberapa tahun kebelakangan ini kembali diminati dalam kalangan peminatnya.

Bagi guru dari Sekolah Kebangsaan Bandar Banting, Selangor, Ispaini Salim, 31, beliau menjadikan pertandingan kereta Tamiya sebagai sumber inspirasi untuk menjadi lebih kreatif.


“Saya telah menubuhkan Kelab Rekacipta di sekolah untuk mendidik pelajar supaya berfikiran luar dari kotak serta menguji minda.

“Kelab ini bukan terhad untuk sekolah sahaja, sebaliknya saya turut mengadakan ‘roadshow’ untuk menambahkan ahli di kalangan murid sekolah rendah di sekitar Banting,” katanya.   

Jadi tidak hairanlah, Ispaini kini memiliki lebih 200 koleksi kereta Tamiya yang berharga RM20,000 yang dikumpul sejak tujuh tahun lalu.

“Saya mengakui permainan ini memang sinonim dengan kanak-kanak tetapi kini menjadi kegilaan orang dewasa.

“Tambahan pula, syarikat pembuatan Tamiya dari Jepun ini telah pun mencipta dan mengkhususkan reka bentuk yang dikhaskan untuk orang dewasa,” katanya ketika ditemui pada pertandingan perlumbaan kereta Tamiya di Kompleks Rakan Muda, dekat sini.

Dalam pertandingan itu, Ispaini muncul juara dan berjaya membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM500, piala dan sebuah kereta Tamiya berharga RM300.

Menurut Ispaini, ada beberapa kategori perlumbaan yang sering dipertandingkan antaranya 'speed', 'semi speed', 'semi technology' dan ‘fully technology’.

"Namun, bagi saya acara yang paling saya gemari adalah 'semi technology' kerana boleh menguji kreativiti dan kepandaian kita untuk mengubahsuai kereta supaya menjadi lebih pantas,” katanya.

Sementara itu, peminat kereta Tamiya, Amir Affan Mohd Razali, 29, berasal dari Seremban mula meminati dunia kereta Tamiya sejak awal Januari lalu selepas diperkenalkan rakan baiknya.

“Pada mulanya saya tidak berminat, tetapi bila rakan mengajak saya untuk melihat pertandingan kereta Tamiya, timbul minat dan kini saya telah memiliki empat koleksi dengan anggaran harga RM1,000,” katanya. -


0 Comments

Post a Comment