Wednesday 23 April 2014

580,000 batang rokok belum cukai dirampas

KUALA TERENGGANU - Jabatan Kastam Diraja Malaysia menahan seorang lelaki bersama 580,000 batang rokok dipercayai belum lulus pemeriksaan Kastam di Dungun pada Sabtu lepas.

Pengarah Kastam Negeri Abdullah Zawawi Abdul Latiff berkata lelaki berusia 33 tahun itu ditahan pada kira-kira 7.30 pagi dalam sebuah van yang sarat dengan muatan rokok, dipercayai untuk edaran di Terengganu.


Hiasan
Beliau berkata anggotanya terpaksa mengejar suspek yang bersendirian lebih lima kilometer sebelum menahannya berhampiran Pejabat Risda di Bandar Al-Muktafi Billah Shah.

"Hasil siasatan di dalam kenderaan itu, kita merampas 2,900 karton rokok bernilai RM29,000 dengan nilai cukai sebanyak RM305,950 dan ini merupakan rampasan rokok kedua terbesar pada tahun ini," katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Abdullah Zawawi berkata suspek, yang berasal dari Selangor, ditahan reman 12 hari untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 116 C Akta Kastam 1967.

Katanya, kastam percaya bekalan rokok itu dibawa masuk dari pantai barat untuk dipasarkan ke pantai timur, khususnya Terengganu.

Justeru, beliau meminta orang ramai menyalurkan sebarang maklumat berkaitan aktiviti penyeludupan dan penyelewengan secara terus kepada Jabatan Kastam Terengganu di talian 09-6204257. - Bernama /sinarharian

Nampaknya kena kurangkan merokok or maybe terpaksa isap rokok mahal.

0 Comments

Post a Comment