Wednesday 14 December 2011

Saman pengikut Syiah terhadap Utusan Melayu dibatalkan

Saman pengikut Syiah terhadap Utusan Melayu dibatalkan


KUALA LUMPUR 14 Dis. – Mahkamah Tinggi di sini hari ini membatalkan saman fitnah terhadap Utusan Melayu (M) Bhd. yang dikemukakan oleh seorang pengikut Syiah yang ditangkap dalam satu serbuan pada Disember tahun lalu.

Hakim Datuk V.T. Singham memutuskan demikian selepas membenarkan permohonan syarikat penerbitan akhbar tersebut untuk membatalkan tuntutan saman berkenaan.

Mohd. Kamilzuhairi Abdul Aziz selaku plaintif memfailkan saman pada 16 Jun lalu terhadap Utusan Melayu; bekas Pengarah Jabatan Agama Islam (JAIS), Datuk Muhammad Khusrin Munawi; dan JAIS atas dakwaan menerbitkan kenyataan fitnah berhubung serbuan itu.

Saman terhadap Muhammad Khusrin dan JAIS telah dibatalkan pada 31 Oktober lalu selepas hakim tersebut mendapati kenyataan yang dikeluarkan oleh kedua-dua defendan itu pada 16 Disember tahun lepas dan disiarkan oleh akhbar Utusan Malaysia pada keesokan harinya tidak merujuk secara langsung atau tidak langsung kepada Mohd Kamilzuhairi atau mana-mana individu.

Dalam penghakimannya hari ini, Hakim Singham memutuskan bahawa pihak plaintif gagal menunjukkan terdapat kausa tindakan yang munasabah terhadap Utusan Melayu selaku defendan pertama.

“Dalam kes ini, mahkamah berpendapat kenyataan yang dikatakan fitnah itu tidak sama sekali merujuk kepada plaintif,’’ kata beliau.

Terdahulu, Hakim Singham turut menolak permohonan plaintif untuk menggantung prosiding tersebut sehingga rayuan plaintif terhadap keputusan beliau membatalkan saman ke atas defendan kedua dan defendan ketiga selesai didengar di Mahkamah Rayuan.

Beliau memutuskan demikian setelah berpendapat bahawa plaintif gagal mengemukakan sebarang fakta-fakta yang material atau alasan khas supaya prosiding itu digantung. - UTUSAN


Creative Commons License
This work is licensed under a Creative Commons Attribution-NonCommercial-ShareAlike 3.0 Unported License. kalau dah baca tu, ringan-ringankanlah tangan anda untuk like page ADAM ok..
kongsikan artikel ini pada facebook dan twitter Make Your Own Gifts Here

0 Comments

Post a Comment