Friday 16 December 2011

Perompak ala ‘cowboy’ kaut empat dulang emas

PARIT BUNTAR: Sekumpulan penjenayah ganas berlagak ala ‘cowboy’ apabila melepaskan tembakan ke udara sebelum merompak sebuah kedai emas di sini.

Tiga penjenayah yang memakai topeng itu muncul di hadapan sebuah kedai emas di Jalan Bendahara, di sini, sebelum melepaskan tembakan menggunakan senapang pump-gun ke udara bagi menakutkan orang ramai.

Kejadian jam 12 tengah hari semalam menyebabkan orang ramai yang menunggu bas di stesen berhadapan kedai emas itu bertempiran lari ketakutan.

Ketua Polis daerah Kerian, Superintendan Mat Fauzi Nayan berkata, kumpulan suspek dikesan menaiki sebuah Proton Wira berwarna putih sebelum berhenti tidak jauh dari kedai emas berkenaan.

Menurutnya, dua lelaki bersenjatakan senapang pump-gun dan tukul besi itu meluru keluar dari kenderaan sebelum melepaskan tembakan ke udara.

“Pada masa sama seorang lagi suspek berlari masuk ke dalam kedai emas dan menghentam cermin kaca pameran menggunakan tukul besi.

“Dua pekerja di dalam kedai emas berkenaan iaitu seorang lelaki dan seorang perempuan hanya terpaku dan tidak berani berbuat apa-apa,” katanya.


Menurutnya, suspek mengambil lebih empat dulang barang kemas sebelum memasukkan ke dalam beg karung dibawa.

“Suspek mengambil masa tiga minit untuk merompak kedai emas itu sebelum melarikan diri menaiki kereta ke arah utara.

“Polis percaya terdapat seorang lagi penjenayah yang bertindak sebagai pemandu kereta berkenaan,” katanya.

Menurutnya, tiada pelanggan di dalam premis itu ketika kejadian dan kerugian dianggarkan melebihi RM100,000. Mat Fauzi berkata, polis yang melakukan siasatan turut menemui satu kelongsong peluru di dalam longkang di hadapan premis itu.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan dan Seksyen 3 Akta Senjata Api 1970 kerana melepaskan tembakan.

“Polis masih menjalankan siasatan dan orang awam yang mempunyai maklumat diminta menghubungi talian 05-7215222.

Dapatkan berita-berita terkini melalui facebook. Klik Like untuk ikuti update terkini Adamfikri.com kongsikan artikel ini pada facebook dan twitter Make Your Own Gifts Here

0 Comments

Post a Comment