Thursday 8 December 2011

Masalah Air keruh diatasi

KUALA LUMPUR: Orang ramai tidak perlu bimbang berhubung status kekeruhan bekalan air di beberapa kawasan kendalian Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) kerana masalah itu dapat diselesaikan sepenuhnya awal pagi semalam.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Ruslan Hassan berkata, masalah kekeruhan bekalan air dialami pengguna di beberapa kawasan akibat kekeruhan air luar biasa di Sungai Selangor hingga memaksa pihaknya mengurangkan jumlah pengeluaran air di empat loji rawatan air.

“Sebelum ini, masalah kekeruhan air itu memaksa kami mengurangkan pengeluaran bekalan air bersih kepada orang ramai sebanyak 1,000 juta liter sehari (JLH) berbanding tahap operasi biasa iaitu 2,460 JLH yang mengganggu hampir 60 peratus penduduk di bawah seliaan kami.

“Namun, masalah itu diatasi kira-kira jam 1 pagi semalam selepas berlaku penurunan dalam bacaan Unit Kekeruhan Nephelometric (NTU) kepada 300 NTU berbanding bacaan kelmarin yang mencatatkan 6,000 NTU. Sehubungan itu, keempat-empat loji rawatan kembali beroperasi pada tahap maksimum.

“Akibat pengurangan pengeluaran loji itu sebelum ini, kami menjangkakan pengguna di kawasan berkenaan akan mengalami masalah tekanan air rendah atau ketiadaan bekalan air terutama di penghujung sistem pengagihan, namun akan pulih sepenuhnya esok (hari ini),” katanya dalam satu kenyataan, semalam.
gambar hiasan | google


Ruslan berkata, pemulihan bekalan air itu mengambil masa panjang berikutan pihaknya tiada sumber alternatif lain bagi menampung jika berlaku kekurangan di kawasan terbabit dengan gangguan itu.

Beliau berkata, pihaknya sudah menurunkan tahap persediaan Pelan Tindakan Kecemasan (ERP) daripada amaran merah kepada tahap hijau, namun Pusat Operasi Krisis Syabas di dua wilayah iaitu Gombak dan Kuala Lumpur akan terus diletakkan dalam keadaan bersiap sedia.

Menurutnya, pihaknya juga dimaklumkan Lembaga Urus Air Selangor (Luas) dan beberapa agensi lain termasuk Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (Span) masih menjalankan siasatan berhubung punca kekeruhan luar biasa yang berlaku di Sungai Selangor, kelmarin.

“Kami menasihatkan pengguna menggunakan air secara berhemah sepanjang tempoh gangguan bekalan dan menyarankan jika orang ramai menghadapi sebarang masalah menghubungi Pusat Khidmat Pelanggan Syabas (Puspel) menerusi talian bebas tol 1-800-88-5252,” katanya. - harian metro


Creative Commons License
This work is licensed under a Creative Commons Attribution-NonCommercial-ShareAlike 3.0 Unported License. kalau dah baca tu, ringan-ringankanlah tangan anda untuk like page ADAM ok..
kongsikan artikel ini pada facebook dan twitter Make Your Own Gifts Here

0 Comments

Post a Comment