Petaling Jaya : “Sehari sebelum kejadian, arwah Pijun ada meluahkan perasaan rindunya kepada arwah ibu melalui kiriman SMS,” kata Azita Sanip, 39, kakak kepada Mohd Hafadz Sanip, 26, yang maut selepas kren dinaiki terhempas dari tingkat 11 sebuah bangunan dalam pembinaan di Ara Damansara di sini.
Dalam kejadian jam 8.50 pagi semalam, mangsa maut serta-merta di lokasi kejadian ketika sedang mengendalikan kren itu bagi mengangkat bahan binaan ke tingkat atas bangunan itu.
Azita berkata, dia yang ketika itu berada di rumah pangsapuri kira-kira 500 meter dari tapak pembinaan sempat mendengar bunyi dentuman kuat tanpa menyangka ia berpunca dari kemalangan yang meragut nyawa adiknya.
“Saya hanya mengetahui kejadian itu kira-kira jam 11 pagi apabila seorang rakan sekerja adik saya memaklumkan tragedi itu. Saya dimaklumkan bahawa Pijun cedera parah dan maut akibat terjatuh bersama kren seberat berpuluh tan itu.
“Adik bongsu saya itu baru sebulan bekerja di tapak pembinaan sebagai pengendali kren. Dia memang rajin dan kuat berkerja,” katanya ketika ditemui di pekarangan bilik mayat Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), semalam.
Azita yang tidak dapat menahan sebak memberitahu arwah ada mengajaknya makan nasi berlauk kari di kedai mamak Ahad lalu namun hajat itu tidak kesampaian.
Rakan sekerja mangsa, Raja Kamarulzaman, 23, berkata, Hafadz sebelum ini bercita-cita mahu menjadi anggota polis dan beberapa kali mencuba nasib dengan menghadiri sesi temu duga namun gagal.
Sementara itu, Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor Mohamad Sani Harul berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 9.01 pagi dan tiba di lokasi kejadian 21 minit kemudian.
Menurutnya, jentera pertama tiba dari Balai Bomba dan Penyelamat Seksyen 7 dengan kekuatan seorang pegawai enam anggota.
“Bomba berjaya mengeluarkan mayat mangsa kira-kira jam 10 pagi sebelum dihantar ke PPUM untuk bedah siasat,” katanya, semalam.
Jenazah akan dibawa pulang ke kampungnya di Kota Tinggi Johor sebelum disemadikan di sana. - Mymetro
0 Comments
Post a Comment