Friday 11 April 2014

Kenaikan Pendapatan Selepas Perlaksanaan GST

Kos sara hidup golongan yang berpendapatan RM2,000 sebulan ke bawah dijangka meningkat sebanyak RM180 selepas Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) dilaksanakan pada April 2015.

Bagaimanapun, golongan tersebut akan menikmati Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) tambahan sebanyak RM300 bagi menampung peningkatan kos yang perlu
diserap.



Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ahmad Maslan berkata, dengan bantuan BR1M khas itu, golongan berkenaan masih mempunyai lebihan RM120.

"BR1M khas itu diberikan kepada golongan berpendapatan rendah kerana kerajaan tidak mahu rakyat terkesan dan terbeban dengan pelaksanaan GST nanti," katanya di sini.

Menurut beliau, pelaksanaan GST dalam tempoh setahun lagi bakal menyaksikan kenaikan harga bagi lebih 300 barangan, atau 10 peratus peratus harga barangan naik, 48 peratus harga barangan kekal manakala harga untuk 700 barangan pula menurun.

Katanya, memandangkan GST adalah cukai kepenggunaan, kesan perbelanjaan rakyat bergantung sepenuhnya kepada perbelanjaan yang dikeluarkan.

"Kalau orang biasa beli dan pakai jam tangan satu sahaja, orang kaya pula mungkin akan beli sembilan jam tangan," katanya yang memberi contoh.

Mengulas mengenai kadar GST yang masih dipertikaikan oleh pihak-pihak tertentu, Ahmad percaya rakyat akan berterima kasih kepada kerajaan selepas melaksanakan cukai tersebut.

Ini kerana, cukai berkenaan jauh lebih rendah berbanding Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) yang diamalkan sekarang.

Jelasnya, SST meliputi cukai perkhidmatan sebanyak enam peratus dan jualan pula 10 peratus berbanding GST hanya enam peratus sahaja.

"Kalau anda membeli satu barang berharga RM100, dalam keadaan sekarang anda mungkin perlu membayar RM120 selepas mengambil kira cukai-cukai yang dikenakan tetapi dengan adanya GST, pengguna hanya membayar RM106 sahaja.

"Cukai ini telah dipratikkan di 160 buah negara, takkanlah negara-negara itu silap," katanya sambil tidak menafikan Malaysia terlewat melaksanakan GST.

Ahmad berkata, GST perlu untuk Malaysia yang selama ini bergantung kepada cukai pendapatan individu dan korporat, selain pendapatan petroleum.

"Kita tidak boleh bergantung kepada petroleum, bekalan semakin berkurangan. Cukai pendapatan pun bergantung kepada ekonomi negara.

"Sebab itulah GST perlu dilaksanakan segera," katanya yang mengakui masih ramai lagi yang tidak faham dengan cukai baru itu. - MalaysiaGazette


 SUMBER

0 Comments

Post a Comment