Thursday 1 December 2011

Russia hargai penduduk Pulau pinang

Zhemchug
SUNGGUHPUN sejarah menunjukkan kerjasama diplomatik antara Rusia dan Malaysia mula terjalin pada tahun 1967, namun persahabatan antara kedua-dua buah negara yang mempunyai budaya yang cukup berbeza ini sebenarnya telah terjalin pada tahun 1914.

Atas nama kemanusiaan, penduduk Pulau Pinang terutamanya para nelayan telah menyelamatkan anak-anak kapal penjajap Zhemchug yang diserang penjajap Jerman, SMS Emden ketika Perang Dunia Pertama di perairan negara sehingga mengakibatkan puluhan nyawa terkorban.

Dalam tragedi awal pagi 28 Oktober 1914 itu, penjajap Jerman, yang dikemudi Leftenan Komander Karl von Muller telah mengaburi pihak lawan dengan menyamar sebagai kapal Britain sebelum melancarkan serangan terhadap penjajap Zhemchug yang berada di pelabuhan Pulau Pinang.

Zhemchug yang boleh memuatkan 348 anak kapal itu tidak sempat hendak menangkis dua serangan torpedo daripada SMS Emden sehingga ia meletup dan terbakar lalu karam di lautan.


Lebih menyedihkan, tragedi yang lebih dikenali sebagai Battle of Penang itu dilaporkan telah mengorbankan sebanyak 89 anak kapal dan pegawai, manakala 143 lagi mengalami kecederaan akibat serangan tersebut.

Duta Besar Persekutuan Rusia Ke Malaysia, Lyudmila G. Vorobyeva, berkata, persekutuan itu amat menghargai jasa penduduk Pulau Pinang ketika itu yang telah menyelamatkan anak-anak kapal Zhemchug.

“Terdapat lebih 300 orang anak kapal Zhemchug pada waktu itu. Walaupun ada yang terkorban, ramai telah diselamatkan oleh penduduk tempatan dalam serangan itu.

“Tentera Rusia yang cedera dalam serangan turut diberi tempat berteduh dan dirawat penduduk di rumah mereka,” ujarnya.

Beliau menambah, ia juga mendedahkan bahawa kerjasama di antara kedua-dua negara telah bermula sebelum tahun 1967 apabila Moscow dan Kuala Lumpur menjalin kerjasama diplomatik.

Katanya, sejarah persahabatan dan persefahaman antara rakyat Rusia dan Malaysia telah menguatkan asas untuk perkembangan ekonomi serta kerjasama politik antara kedua-dua negara.

 Pelbagai perubahan telah dilalui tetapi memori dan perasaan manusia tidak pernah berubah serta akan kekal selama-lamanya.

“Bahkan, kami amat terhutang budi dengan masyarakat negara ini terutamanya penduduk Pulau Pinang yang menyelamatkan anak kapal dan pengawai Zhemchug ketika diserang kapal perang Jerman pada tahun 1914 itu,” katanya lagi.

Sebanyak 12 tentera Rusia yang gugur dalam pertempuran tersebut telah disemadikan di Western Road Cemetery, George Town, manakala dua lagi di Pulau Jerejak.

Sementara itu, Atase Tentera Udara dan Laut Persekutuan Rusia (Malaysia dan Brunei), Kapten (Navy) Sergey V. Zhevnovatyy, memberitahu, kubur yang menempatkan dua kelasi Rusia di Pulau Jerejak telah ditemui pada tahun 2005.

“Pada waktu itu, kami telah diberitahu oleh nelayan-nelayan tempatan bahawa terdapat kubur di hutan Pulau Jerejak.

“Apabila meneroka hutan itu, kami mendapati ia masih dalam keadaan baik walaupun sudah berusia lebih 90 tahun. Bagi memastikan keadaan lebih baik pada tahun 2007 ia telah dibaik pulih dan diperkemaskan agar dapat dilawati,” jelasnya.

Setiap hujung bulan Oktober dan awal bulan Mei, kedutaan Persekutuan Rusia akan melawat kedua-dua perkuburan berkenaan untuk memberi penghormatan kepada wira-wira yang gugur semasa Perang Dunia Pertama.

 Sumber : kosmo
Creative Commons License
This work is licensed under a Creative Commons Attribution-NonCommercial-ShareAlike 3.0 Unported License. kalau dah baca tu, ringan-ringankanlah tangan anda untuk like page ADAM ok..
Make Your Own Gifts Here

0 Comments

Post a Comment