Thursday, 22 December 2011

Kontinjen paralimpik negara cipta kejayaan tersendiri

SOLO (INDONESIA): Walaupun gagal melepasi sasaran 57 emas, kontinjen paralimpik negara yang mengakhiri saingan Sukan Para Asean di tangga ketiga dengan 51 emas, 36 perak dan 45 gangsa di sini baru-baru ini, tetap dianggap mencatat kejayaan besar.

Mereka membuktikan kesungguhan, kecekalan dan semangat nasionalisme yang utuh lebih bernilai berbanding sebutir pingat emas dan harus diteladani seluruh rakyat Malaysia.

Ini diakui Majlis Sukan Negara (MSN) yang berpuas hati dengan kejayaan serta kesungguhan atlit paralimpik negara kali ini.
"Temasya ini dilihat sebagai platform terbaik bagi atlit paralimpik pelapis menuju cabaran yang lebih besar iaitu Temasya Paralimpik," kata Pengarah Cawangan Paralimpik MSN, Mohd Safrusahar Yusuf kepada BERNAMA, di sini pada Selasa.

Edisi kali ini menyaksikan Thailand muncul kuasa baru Sukan Para Asean apabila mengutip 126 emas, 96 perak dan 73 gangsa, diikuti negara tuan rumah Indonesia dengan 113 emas, 108 perak dan 89 gangsa.

Mengulas lanjut, Mohd Safrusahar berkata beberapa sukan menunjukkan peningkatan ketara iaitu olahraga yang menyumbang 28 emas, renang (7 emas), tenping boling (6), badminton (5), powelifting (2), memanah (2) dan tenis berkerusi roda (1).

Katanya edisi di Solo ini dilihat lebih kompetitif berdasarkan saingan sengit daripada peserta 11 negara yang mengambil bahagian.
"Penanda aras ini menunjukkan bahawa objektif penganjuran Temasya Sukan Para Asean bukan lagi dianjurkan untuk mengeratkan hubungan warga Orang Kelainan Upaya (OKU) sebaliknya membawa kepada misi yang lebih besar (Temasya Paralimpik London 2012)," katanya.

Mengulas kegagalan mencapai sasaran, beliau berkata antara faktor yang dikenal pasti ialah kontinjen negara dibarisi atlit pelapis.

"Jika kita menghantar atlit paralimpik elit ke Solo sudah pasti 57 pingat emas berjaya dicapai, namun mereka perlu menumpukan kepada misi yang lebih besar iaitu memburu tiket kelayakan ke Temasya Paralimpik London 2012 melalui beberapa kejohanan kelayakan paralimpik dunia yang sedang rancak berlangsung ketika ini," katanya.

Meskipun begitu, Mohd Safrusahar berkata kehadiran atlit pelapis negara tidak mengecewakan kerana berupaya memberi saingan sengit kepada atlit elit negara lain dan harus dibanggakan.

Myanmar dipilih sebagai tuan rumah Temasya Sukan Para Asean yang berikutnya iaitu pada 2013. - BERNAMA
 

Dapatkan berita-berita terkini melalui facebook. Klik Like untuk ikuti update terkini Adamfikri.com
kongsikan artikel ini pada facebook dan twitter Make Your Own Gifts Here

1 Comments: