Friday 16 December 2011

Geng Man Kuchai aktif menyamun akhirnya tumpas

Geng Man Kuchai aktif menyamun akhirnya tumpas | KUALA LUMPUR: Geng 'Man Kuchai' yang aktif menyamun dan merompak di sekitar Kuala Lumpur sejak enam bulan lalu berjaya diberkas dengan tertangkapnya lima lelaki pada 1 Dis lepas.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur Datuk Ku Chin Wah berkata kesemua mereka yang berumur 22 hingga 31 tahun itu ditahan di sekitar Jalan Kuchai Lama.

"Mereka terlibat dalam 21 siri rompakan di kedai serbaneka (7-Eleven) dan samun kereta di Kuala Lumpur (19 kes), dan masing-masing satu kes di Kuantan, Pahang dan Petaling Jaya," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Turut dirampas adalah sebuah kereta Proton Wira yang dilaporkan hilang di Petaling Jaya, sebuah Perodua Kancil yang dilaporkan hilang di Sungai Besi dan sebuah kereta jenis Fiat Punto yang dilaporkan hilang di Puchong, katanya.

Beliau berkata geng itu digelar Man Kuchai kerana ketuanya dikenali sebagai Man dan mereka banyak melakukan kegiatan samun di sekitar Jalan Kuchai Lama.

Modus operandi untuk menyamun kereta adalah dengan melanggar kereta yang ingin disamun sebelum melarikan kereta terbabit dan anggota geng itu turut menyamar sebagai anggota polis, katanya.

Ku berkata yang terbaru pada 26 Sept lepas di Taman OUG, Jalan Klang Lama seorang wanita berumur 45 tahun dimasukkan ke dalam but kereta miliknya oleh dua lelaki dalam satu cubaan samun.

Suspek dipercayai masuk ke dalam kereta wanita terbabit dan mengacukan parang sebelum memasukkan mangsa ke dalam but kereta namun mangsa berjaya menyelamatkan diri dan terjun dari bonet.

"Selain itu, mereka akan berpindah dari satu hotel bajet ke hotel bajet yang lain untuk mengaburi mata pihak polis," katanya.

Ku berkata siasatan mendapati dua dari lima suspek bekerja sebagai pengawal keselamatan manakala tiga yang lain termasuk ketuanya tidak bekerja dan senjata yang digunakan untuk menyamun adalah parang.

Kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan dan kesemua mereka yang positif dadah ditahan reman sehingga 19 Dis ini, katanya. - BERNAMA


Dapatkan berita-berita terkini melalui facebook. Klik Like untuk ikuti update terkini Adamfikri.com kongsikan artikel ini pada facebook dan twitter Make Your Own Gifts Here

0 Comments

Post a Comment