Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Keluarga, Kebajikan Masyarakat dan Kesihatan negeri, Dr Robia Kosai, berkata 10 bot bernilai kira-kira RM30,000 itu dibina oleh pelajar Pusat Giat MARA Mersing.
Katanya, pemberian bot gentian terbabit kepada 10 nelayan wanita itu dibuat selepas mendapati ada kalangan mereka yang mengalami masalah dengan bot serta sampan usang yang bocor hingga sukar keluar menangkap ikan.
“Walaupun kebanyakan nelayan di kalangan Orang Asli adalah lelaki, masih ada wanita yang mengikut suami ke laut mencari hasil tangkapan untuk menyara kehidupan seharian mereka.
“Justeru, kita mengambil langkah prihatin apabila ada nelayan wanita ini yang mengadu sampan kayu digunakan mereka selama ini tidak lagi praktikal kerana sering mengalami kebocoran,” katanya ketika ditemui selepas majlis Sambutan Hari Wanita peringkat negeri Johor, di sini, kelmarin.
Nelayan Orang Asli, Bama Tok, 70, dari Perkampungan Orang Asli Sungai Papan, Kota Tinggi, dekat sini, berkata dia terharu dengan keprihatinan kerajaan negeri dalam usaha membantu nelayan wanita seperti mereka.
"Saya berterima kasih kepada kerajaan negeri yang sudi membantu kami menyediakan bot lebih baik daripada sebelum ini kami sering berdepan masalah kerosakan bot yang sering bocor,” katanya.
Ibu tunggal kepada sembilan anak, Tee Achai, 49, berkata bantuan bot yang diterima itu sedikit sebanyak dapat membantu meringankan bebannya meneruskan usaha sebagai nelayan bagi mencari rezeki untuk menyara hidup keluarga.
“Saya bersyukur kerana pihak kerajaan nyata tidak menyisihkan kami, malah dengan kemudahan ini secara tidak langsung memberikan kami lebih semangat untuk mencari hasil tangkapan di laut,” katanya.
Dapatkan berita-berita terkini melalui facebook. Klik Like untuk ikuti update terkini Adamfikri.com
0 Comments
Post a Comment