Wednesday 9 April 2014

Kutipan Cukai Petroleum Mencecah RM37.56 bilion

Kerajaan Persekutuan mengutip cukai petroleum berjumlah RM37.56 bilion setakat 11 bulan sehingga November 2013, dibantu peningkatan hasil kutipan dari sektor hiliran.

Jumlah cukai dibayar syarikat petroleum hiliran setakat Januari hingga November 2013 oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) meningkat kepada RM11.18 bilion, berbanding RM10.99 bilion pada 2012 dan RM9.40 bilion pada 2011.


Manakala bagi sektor huluan, jumlah cukai dibayar setakat Januari hingga November 2013 ialah RM26.38 bilion, berbanding RM34.93 bilion pada 2012 dan RM28.15 bilion pada 2011, demikian menurut Laporan Ketua Audit Negara 2013, tentang Aktiviti Kementerian/Jabatan dan Pengurusan Syarikat Kerajaan Persekutuan Siri 1.

Menurut laporan itu, keseluruhan jumlah kutipan cukai petroleum pada 2012 ialah RM45.92 bilion, manakala 2011 sebanyak RM37.55 bilion.

Peratusan sumbangan cukai petroleum berbanding keseluruhan kutipan cukai LHDN masih di atas paras 30 peratus, iaitu 32.1 peratus (11 bulan sehingga November 2013), berbanding 36.8 peratus pada 2012.

Menurut laporan itu, pengauditan yang dijalankan antara Jun 2013 hingga September 2013 mendapati prestasi Bahagian Petroleum LHDN mencapai sasaran ditetapkan terhadap syarikat petroleum huluan dan syarikat petroleum hiliran.

Bagaimanapun, bagi 2013 iaitu untuk tempoh Januari hingga Jun 2013, Bahagian Petroleum baru mencapai KPI antara 32 peratus hingga 49 peratus.

LHDN dalam laporan maklum balasnya menjelaskan pencapaian KPI yang kurang untuk Januari hingga Jun 2013 adalah disebabkan kelewatan pembayar cukai mengemukakan dokumen diperlukan.

Menurutnya, mengambil kira hasil sehingga November 2013, pencapaian KPI pada 2013 telah melebihi sasaran antara 137 peratus hingga 150 peratus.

Selain itu, kes rayuan tentang taksiran telah berjaya diselesaikan pegawai audit luar dalam tempoh ditetapkan. - Bernama / Sinar Harian