Friday, 11 April 2014

Dicekup ketika cuba curi telefon pintar

PARIT BUNTAR - Taktik seorang remaja yang menyamar sebagai pelanggan sebelum cuba melarikan sebuah telefon pintar dari sebuah kedai alat komunikasi di Jalan Shahbandar 1, Pusat Bandar, di sini tidak menjadi apabila dia dicekup orang ramai.

Saksi kejadian, Ooi Geng Huan,29, berkata, ketika kejadian pada kira-kira jam 11 pagi kelmarin itu, remaja lelaki berusia 18 tahun terbabit masuk ke dalam premis majikannya dalam keadaan mencurigakan.

Menurutnya, remaja itu kemudiannya berpura-pura bertanyakan sebuah model telefon pintar jenama Samsung dan memintanya mengeluarkan alat telekomunikasi itu dengan alasan mahu menelitinya dengan lebih dekat.


“Memandangkan hanya saya dan dia (suspek) berada di dalam premis, saya mengeluarkan telefon itu dan meletakkannya di atas meja untuk ditelitinya

“Bagaimanapun, saya terkejut apabila remaja itu tiba-tiba lari membawa telefon pintar tersebut, menyebabkan saya terus mengejarnya,” katanya sewaktu ditemui di lokasi kejadian pagi kelmarin.

Geng Huan berkata, suspek cuba mendapatkan motosikal yang diletakkan di hadapan premisnya, namun tindakan dia menjerit meminta tolong berjaya mendapat perhatian beberapa orang awam yang segera membantu menangkap remaja itu.

Katanya, seorang anggota Pertubuhan Keselamatan Sukarelawan Kerian (PKSK) berjaya menjatuhkan suspek yang sedang cuba menghidupkan enjin motosikal, manakala dia segera memegang remaja lelaki terbabit dengan erat bagi mengelaknya melarikan diri.

“Insiden itu menyebabkan saya cedera ringan berikutan suspek cuba meronta-ronta beberapa kali untuk melepaskan diri.

“Berikutan itu, saya berjaya mendapatkan kembali telefon pintar dicuri suspek dan seterusnya membuat laporan di Balai Polis Parit Buntar,” katanya.

Sementara itu, anggota PKSK yang membantu menangkap suspek berkata, motosikal jenis EX5 dinaiki remaja tersebut menggunakan plat nombor pendaftaran palsu.

“Saya yakin remaja terbabit baru berjinak-jinak dalam melakukan jenayah berikutan tindakan kurang bijak suspek mencuri secara bersendirian ketika premis tidak dipenuhi pelanggan,” katanya.

Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Mat Fauzi Nayan ketika dihubungi mengesahkan kejadian tersebut. - Sinarharian.com.my

0 Comments

Post a Comment