Monday, 12 December 2011

Barca menang menentang Real Madrid | pertarungan 'Clasico'


MADRID - Barcelona bangkit daripada kejutan gol awal Karim Benzema hanya 23 saat selepas permainan bermula, dengan memberi kekalahan pahit kepada musuh ketat, Real Madrid 3-1 di Santiago Bernabeu, sekali gus merampas takhta pendahulu La Liga, semalam.

Benzema menyumbat gol awal untuk Real mendahului 1-0, selepas menghukum kesilapan penjaga gol Barcelona, Victor Valdes.

Namun, Alexis Sanchez yang mengetepikan David Villa untuk posisi penyerang utama, menyamakan kedudukan 1-1 pada minit ke-30 selepas merembat hantaran Lionel Messi.

Tendangan Xavi pada minit ke-53 pula terkena pertahanan Real, Marcelo dan gagal dicapai penjaga gol, Iker Casillas untuk meletakkan Barcelona di depan 2-1.

Cesc Fabregas menambah derita tuan rumah dengan menyumbat gol ketiga pada minit ke-65 menerusi tandukan hasil hantaran cantik Dani Alves. Ia adalah jaringan ke-10 buat bekas kapten Arsenal itu dalam kempen liga utama Sepanyol musim ini.

Real yang jatuh di tangga kedua liga menerusi perbezaan gol memiliki kelebihan satu perlawanan. Namun, ia tetap menyakitkan apabila rekod 15 kemenangan berturut-turut (dalam semua kejohanan) dileburkan oleh musuh tradisi dan di tempat sendiri.

Barca tidak pernah tewas dalam enam kunjungan ke Santiago Bernabeu, stadium kebanggaan Real, namun jurulatih mereka, Pep Guardiola menggesa anak-anak buahnya agak tidak terlalu terbawa-bawa dengan kemenangan itu.

Menurut Guardiola, dia khuatir, apabila Barca kembali daripada kejohanan Piala Kelab Dunia di Jepun minggu depan, Real sudah merampas semula kedudukan pendahulu.

"Real akan menjadi pendahulu sekali lagi jika mereka mengalahkan Sevilla, jadi tiada gunanya kalau kami menjadi 'juara' hanya untuk bulan November atau Disember.

"Saya fikir perlawanan hari ini adalah sukar, ia juga memerlukan sedikit tuah. Madrid sentiasa mencipta peluang, tetapi keseluruhannya, saya gembira dengan cara kami menamatkan permainan.

"Begitupun saya tidak fikir keputusan ini akan menjejaskan Madrid, mereka pasti akan bangkit dan terus menjadi pencabar terbesar kami,'' kata Guardiola.

Mourinho mengakui, kekalahan itu amat mengecewakan tetapi sekarang bukan masa untuk pemain Real meratapi keputusan tersebut.

"Pemain sedih tetapi tenang. Sebelum perlawanan kami ada berkata, kami harus mengawal perasaan sama ada menamatkan perlawanan dengan kemenangan atau kekalahan.

"Kami cuma kalah satu perlawanan dan kalau kami menang perlawanan berikutnya, kami kembali meneraju liga,'' kata Mourinho.

Guardiola melakukan eksperimen dengan meletakkan tiga pertahanan tetapi kemudian mengakui, strategi itu terlalu berisiko kerana Real memiliki rangkaian serangan yang kuat. Mereka akhirnya kembali kepada empat pertahanan yang diketuai kapten, Carlos Puyol dan Gerard Pique. - AFP

Creative Commons License
This work is licensed under a Creative Commons Attribution-NonCommercial-ShareAlike 3.0 Unported License. kalau dah baca tu, ringan-ringankanlah tangan anda untuk like page ADAM ok..
kongsikan artikel ini pada facebook dan twitter Make Your Own Gifts Here

0 Comments

Post a Comment